fbpx
Select Page

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Sejak 2016 saya merupakan seorang Evernote Certified Consultant (ECC).

Jujurnya saya hanya menggunakan Evernote sebagai pusat pengumpulan nota segera seperti resit bayaran,gambar-gambar keluarga dan sebagainya.

Ala-ala pusat kitar semula.Kena malasnya, jadilah pusat pengumpulan sampah.

Saya lebih cenderung menggunakan pen dan kertas untuk menulis.

Tahun 2021 saya telah melakarkan peta kehidupan saya sebanyak 1,163 halaman.

Ya benar sejumlah 1,163 halaman.

Anggarannya begini,1 rim kertas A4 berjumlah 500 helaian.

Kalau 2 rim dapatlah 1,000 halaman kertas putih,suci dan murni.

Kesemua karya penulisan tahun 2021 tersimpan rapi di dalam 2 buah fail ini.

Bulan Disember 2021 saya menerima e-mel daripada pihak Evernote berkaitan tawaran pembaharuan sijil Evernote Certified Consultant (ECC).

Pihak Evernote menjenamakannya semula sebagai Evernote Expert.

Bulan Januari 2022 baru saya berani membalas e-mel tersebut dan menyatakan persetujuan.

Anak sulung saya Muhammad tidak bersekolah gaya formal sejak PKP 1.0.

Daripada 18/3/2020 sehinggalah 20/3/2022 dia duduk di rumah.

Sekejap dia pergi rumah pengasuh bersama adiknya.

Sekejap bersama saya di rumah.

Saya dan umminyalah yang menjadi tenaga pengajar di rumah.

Saya tertanya-tanya, adakah tepat tindakan saya untuk memperbaharui sijil Evernote Expert?

Bagaimana dengan urusan konsultasi pengurusan masa sedia ada yang saya jalankan sejak 2014?

Mampukah saya bawa kedua-duanya sekali?

Bagaimana jika salah satunya tergendala.

Paling parah,bagaimana jika kedua-duanya gagal serentak?

Saya sangat berpengalaman.

Ianya terbukti apabila 12 daripada 13 perniagaan saya telah gagal sebelum ini.Huhuhu.

Langkah pertama yang saya ambil adalah dengan memperbetulkan niat.

Saya mengambil persijilan Evernote Expert ini bukan untuk tujuan perniagaan.

Sebaliknya 100% untuk tujuan pembelajaran ilmu teknologi yang baharu.

Di dalam kenyataan misi peribadi saya peranan sebagai pelajar tertera begini,

4.PELAJAR

Saya bersungguh-sungguh menambah ilmu baharu melalui pembacaan dan perguruan.

Saya menyusun dapatan dan mengaplikasi ilmu baharu dalam kehidupan secepat mungkin.

Saya sentiasa berguru daripada alam dan menyampaikan melalui kalam.

Bermula 18/2/2022 sehingga 18/3/2022 saya fokus gila-gila dengan persijilan Evernote Expert.

Terpaksa berdikit-dikit membahagikan 20 Gb data internet dan hotspot telefon bimbit sendiri.

Bila hujung minggu dapat akses UNIFI tanpa had,baru saya pulun dan muat naik segala latihan dan nota berkaitan.

Terdapat 6 bahagian di dalam persijilan Evernote Expert.

Inilah bab-babnya:

1-Kalendar (Calendar Specialization)

2-Carian (Search Specialization)

3-Fungsi Lanjutan (Advance Features Specialization)

4-Tugasan (Task Specialization)

5-Asas (Fundamentals Specialization)

6-Rumah (Home Specialization)

Serius.Otak sangat berasap.

Saya menyelami dasar dan falsafah Evernote jauh ke perut buminya.

Bagaimana Evernote telah berevolusi gila-gila sejak tahun 2016.2022 lagi kemas perjalanan perniagaan mereka.

Anak saya Muhammad duduk di sisi semasa saya melengkapkan persijilan Evernote.

Dia katakan kepada saya.

“Walid,bila nak siap?”

“Lama lagi ke?”

“Walid kena fokus tau siapkan Evernote tu!”

Muhammad akan duduk bersebelahan saya sambil buat soalan matematik bertemakan tambah tolak.

Bila dia selesai menjawab soalan bertulis,saya berhenti belajar dan menyemak jawapan soalan matematiknya.

Kami saling menyokong PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah).

Kiranya macam father-son bonding time.Begitulah.

Kalau sebelum ini saya boleh fokus selama 7-8 jam setiap hari.

Dengan tambahan komitmen sebagai cikgu kepada anak,saya hanya berkarya 2 jam saja setiap hari.

Itu yang saya risau, jika konsultasi pengurusan masa ditambah lagi dengan konsultasi Evernote Expert….

Apa akan jadi nanti?

Alamak!

Saya ingat lagi,saya pulun datang awal ke masjid jam 12 tengah hari untuk solat jumaat.

Saya ambil meja lipat,kerusi sandar dan duduk di saf pertama.

Bentangkan sejadah.Solat sunat tahiyatul masjid.Niat iktikaf.

Kemudian saya buka talian internet.Saya cuba menyelesaikan saki-baki persijilan Evernote Expert.

Alhamdulillah. Saya berjaya menjawab 3 soalan subjektif dan 20+ soalan objektif terakhir dan menghantarnya kepada pihak pentadbir Evernote Expert.

Tepat-tepat sebelum azan pertama solat jumaat tamat, terus saya mematikan telefon bimbit.

Alangkah damai dan bahagianya hari sabtu dan ahad minggu tersebut.

Syukur pada Allah,pada 18/3/2022 saya menerima e-mel menyatakan pengiktirafan saya sebagai Evernote Expert di Malaysia.

Inilah dia e-sijil yang memperakukan saya.

Baru saya sedar bahawa Evernote ini bukanlah cabang perniagaan yang baharu.

Sebaliknya, ia merupakan pelengkap kepda konsultasi pengurusan masa yang saya jalankan sejak 2014.

Terdapat 3 golongan yang saya perhatikan:

Golongan pertama suka tulis diari,jurnal kehidupan guna pen dan kertas.Macam saya.

Golongan kedua pula turut menulis dan menuju ke arah sifar penggunaan kertas (paperless). Suka pendekatan berasaskan teknologi (technology-based).

Golongan ketiga pula berminat nak mula mengarang cerita sendiri.Tapi tak tahu nak mula dari mana.Guna kertas atau digital yang lebih baik?

Mungkinkah ketiga-tiga golongan ini boleh mendokumen sejarah kehidupan sendiri secara digital dengan bantuan Evernote?

Anda pula tergolong di dalam kumpulan pertama,kedua atau yang ketiga?

Pokok pangkalnya selama mana kita berusaha mencatatkan memori kehidupan sendiri,itulah yang paling bermakna.

Kita pasti akan pergi.

Mungkin saya pergi kemudian,anda pergi dahulu.

Atau mungkin juga anda pergi dahulu,saya pergi kemudian.

Alangkah indahnya, jika orang lain boleh mendapat manfaat daripada penulisan kisah hidup kita.Setuju?

Untuk pengetahuan kalian,saya baru sahaja memperuntukkan 690 minit (11.5 jam) mengemaskini 419 nota (notes),152 buku nota (notebooks) di dalam akaun Evernote saya.

419 nota (notes) itu saya pilih,buang dan jumlah terakhirnya ialah 375.

375 nota tersebut saya bahagikan ke dalam 41 buku nota (notebooks) berkaitan.

Insya-Allah saya akan terangkan prosesnya dalam artikel akan datang.

Semoga Allah mempermudahkan jalan saya  membantu insan lain untuk merencana,mendokumen dan melaksana rencah perjalanan hidup mereka menggunakan Evernote.

Syazli Khamis

Penulisan Itu Hidup,Walaupun Penulis Itu Mati